Ya, dokumen berkaitan tuntutan, seperti laporan perubatan atau diagnostik serta nota kemasukan dan discaj perlu dihantar.
Jika anda mempunyai keadaan sedia ada sebelum 1 Januari 2019, anda masih boleh membuat tuntutan untuk manfaat pendapatan gantian Hospitalisasi atau Penyakit Kritikal, tertakluk kepada terma berikut:
(i) Untuk manfaat pendapatan gantian Hospitalisasi, anda boleh membuat tuntutan jika anda dimasukkan ke hospital pada atau selepas 1 Januari 2019
(ii) Untuk manfaat penyakit kritikal, anda boleh membuat tuntutan jika penyakit sedia ada tidak mencapai peringkat lebih teruk seperti yang dispesifikasikan di dalam definisi penyakit kritikal sebelum 1 Januari 2019. Sila rujuk kepada senarai definisi 45 penyakit kiritikal.
Berikut adalah contoh illustrasi kemungkinan senario-senario bagi 7(ii) di atas:
Contoh 1:
En. A diserang sakit jantung pada 2017. Dia tidak boleh membuat tuntutan untuk kejadian ini kerana ianya berlaku sebelum 1 Januari 2019.
Pada Februari 2019, En. A diserang sakit jantung sekali lagi. Oleh sebab kejadian ini berlaku selepas 1 Januari 2019, dia layak membuat tuntutan untuk manfaat penyakit kritikal sebanyak RM 8,000.
Contoh 2:
En. B didiagnos menghidap kencing manis pada 2010. Malangnya, keadaan beliau menjadi semakin teruk. Pada Mac 2019, En. B didiagnos dengan kegagalan buah pinggang (kegagalan fungsi kedua-dua belah buah pinggang kronik tetap), yang memerlukan dialisis tetap. Dalam kes ini, dia layak membuat tuntutan untuk manfaat penyakit kritikal sebanyak RM 8,000.
Contoh 3:
En. C didiagnos dengan kegagalan buah pinggang pada 2018 dan menjalani dialisis secara tetap. Dalam kes ini, Manfaat Penyakit Kritikal tidak akan dibayar untuk kegagalan buah pinggang kerana keadaan tetap ini berlaku sebelum 1 Januari 2019.
Walau bagaimanapun, sekiranya En. C didiagnos dengan serangan jantung (yang terdapat dalam senarai 45 Penyakit Kritikal) pada 2 Januari 2019, dia layak membuat tuntutan untuk Manfaat Penyakit Kritikal sebanyak RM 8,000.
Contoh 4:
En. D didiagnos menghidap Penyakit Parkinson pada 2005. Ianya pada peringkat awal dan beliau masih boleh melakukan aktiviti harian seperti biasa. Keadaan beliau menjadi semakin teruk yang mengakibatkan ketidakmampuan berperingkat. Pada Mac 2019, En. D menerima pengesahan diagnosis daripada pakar neurologi berkenaan ketidakmampuan kekal beliau untuk melakukan tugasan asas seperti makan, mandi dan bergerak tanpa bantuan orang lain dan keadaan beliau tidak boleh dikawal melalui ubat. Dalam kes ini, beliau boleh membuat tuntutan manfaat penyakit kritikal sebanyak RM 8,000.
Contoh 5:
Cik E telah didiagnos dengan Karsinoma-in-situ di payudara pada 2018. Dalam kes ini, Cik E tidak layak membuat tuntutan kerana Karsinoma-in-situ bukanlah penyakit kritikal yang dilindungi.
Pada Mac 2019, diagnosis doktor mengesahkan keadaan Cik E telah berubah kepada Kanser Payudara Tahap 1. Dalam kes ini, Cik E layak membuat tuntutan manfaat penyakit kritikal sebanyak RM8,000 kerana Kanser pada/ selepas 1 Januari 2019 dilindungi tanpa mengira status kesihatan Cik E pada 2018.
Contoh 6:
En. F telah didiagnos menghidap Kanser Paru-paru pada 2017. Beliau memberi respon yang baik terhadap rawatan dan pada 2018, dia telah didiagnos sebagai bebas kanser. Malangnya, pada Februari 2019, diagnosis doctor mengesahkan kanser paru-paru beliau telah kembali. Dalam kes ini, oleh sebab kanser itu kembali selepas 1 Januari 2019, dia layak membuat tuntutan manfaat penyakit kritikal sebanyak RM 8,000.
Anda boleh rujuk kepada arahan berikut untuk membuat tuntutan:
i. Tuntutan Penyakit Kritikal
Langkah 1: Layari www.mysalam.com.my dan log masuk menggunakan No. Kad Pengenalan (No. KP) dan kata laluan yang dihantar kepada anda melalui SMS (atau kata laluan terkini yang anda telah tetapkan).
Langkah 2: Klik Muat turun Borang dan muat turun borang 'Penyakit Kritikal - Kenyataan Doktor', berdasarkan jenis penyakit kritikal.
Langkah 3: Dapatkan doktor atau pakar yang merawat anda untuk melengkapkan borang 'Penyakit Kritikal - Kenyataan Doktor'.
Langkah 4: Log masuk ke www.mysalam.com.my dan klik ikon Tuntutan, kemudian ikon Penghantaran Tuntutan. Skrol ke bawah laman dan klik ikon Tuntutan Penyakit Kritikal.
Langkah 5: Masukkan maklumat yang diperlukan, klik butang Muat naik untuk memuat naik dokumen* yang berkenaan. Seterusnya klik butang Lampirkan.
a) Salinan Kad Pengenalan - (depan dan belakang)
b) Borang Penyakit Kritikal - Kenyataan Doktor
Langkah 6: Klik butang Hantar untuk melengkapkan proses penghantaran tuntutan.
ii. Tuntutan Hospitalisasi
Langkah 1: Layari www.mysalam.com.my dan log masuk menggunakan No. Kad Pengenalan (No. KP) dan kata laluan yang dihantar kepada anda melalui SMS (atau kata laluan terkini yang anda telah tetapkan).
Langkah 2: Klik ikon Tuntutan, kemudian ikon Penghantaran Tuntutan. Skrol ke bawah laman dan klik ikon Tuntutan Hospitalisasi.
Langkah 3: Masukkan maklumat yang diperlukan, klik butang Muat naik untuk memuat naik dokumen* yang berkenaan. Seterusnya klik butang Lampirkan.
a) Salinan Kad Pengenalan - (depan dan belakang)
b) Salinan Nota Discaj
Langkah 4: Klik butang Hantar untuk melengkapkan proses penghantaran tuntutan.
*Semua dokumen yang diperlukan hendaklah dimuat naik dalam format PDF atau JPEG.
Anggaran masa untuk memproses kedua-dua tuntutan Hospitalisasi dan Penyakit Kritikal ialah sepuluh (10) hari bekerja setelah menerima dokumen tuntutan yang lengkap. Sekiranya dokumen atau maklumat yang diterima tidak lengkap, proses semakan akan mengambil masa lebih lama atau sehingga dokumen yang diperlukan telah lengkap.
Bagi Manfaat Hospitalisasi, skim ini hanya merangkumi semua hospital kerajaan Malaysia, hospital universiti dan hospital angkatan tentera, seperti yang disenaraikan di portal mySalam.
Bagi Manfaat Penyakit Kritikal, jika penyakit kritikal disahkan di hospital swasta atau hospital selain hospital panel, tetapi rawatan lanjut dibuat di mana-mana hospital panel mySalam, permohonan masih boleh dibuat dengan syarat borang 'Penyakit Kritikal - Kenyataan Doktor' dilengkapkan oleh doktor yang merawat dari hospital panel.
Ya, anda akan dibayar RM 50 sehari bagi kemasukan wad yang diperlukan ke hospital panel kecuali jika rawatan yang diterima berada di bawah pengecualian yang disebutkan di sini.
Elaun hospitalisasi hanya akan dibayar jika anda bermalam di hospital i.e tarikh keluar wad adalah selepas tarikh kemasukan wad.
Contoh 1:
Cik A dimasukkan ke wad pada 1 Januari 2024 dah keluar wad pada hari yang sama.
Tiada elaun hospitalisasi yang akan dibayar.
Contoh 2:
Cik B dimasukkan ke wad pada 1 Januari 2024 dan keluar pada 3 Januari 2024.
Elaun hospitalisai akan dibayar bagi 2 hari berjumlah RM 100, bergantung kepada terma dan syarat mySalam.
Had lampiran yang ditetapkan adalah sebanyak empat (4) lampiran pada ruangan Kad Pengenalan dan sepuluh (10) pada ruangan Lampiran. Sekiranya telah mencapai had maksimum, permohonan baru perlu dikemukakan. Untuk bantuan lanjut, sila hubungi info@mysalam.com.my, menggunakan nombor tuntutan sebagai subjek.
Tidak. Pembayaran tuntutan mySalam akan dibayar ke akaun bank penerima mySalam sahaja. Arahan pembayaran kepada akaun bank milik pihak ketiga akan ditolak oleh pihak bank.
Contoh: Encik Abu telah mengemaskini nombor akaun pasangannya, Puan Murni, semasa membuat tuntutan kepada mySalam. Tuntutan mySalam Encik Abu yang telah diluluskan tidak akan dibayar ke akaun Puan Murni. Pembayaran hanya boleh dibayar ke akaun Encik Abu sahaja.
Kemasukan ke wad disebabkan oleh jangkitan COVID-19 boleh menuntut elaun hospital sebanyak RM 50 sehari, terhad kepada 14 hari/ RM 700 setahun.
Komplikasi yang berpunca daripada jangkitan COVID-19 yang mengakibatkan salah satu daripada 45 jenis penyakit kritikal yang tersenarai, boleh membuat tuntutan di bawah Manfaat Penyakit Kritikal.
Nota: Penerima mySalam perlu bermalam di wad untuk layak menerima manfaat ini.
Anda perlu melog masuk ke portal mySalam untuk memuat turun borang CI. Sila pilih borang CI mengikut kumpulan yang tertera di sini.
Maklumat wajib yang diperlukan boleh didapati di sini.
Anda boleh rujuk kepada arahan berikut bagi mengetahui langkah-langkah yang diperlukan:
Langkah 1: Layari www.mysalam.com.my dan log masuk menggunakan No. Kad Pengenalan (No. KP) dan kata laluan yang dihantar kepada anda melalui SMS (atau kata laluan terkini yang anda telah tetapkan).
Langkah 2: Klik ikon Tuntutan. Kemudian, klik ikon Status Tuntutan.
Langkah 3: Klik pada Nombor Tuntutan yang berstatus Dokumen Sokongan Diperlukan.
Langkah 4: Lihat di ruang Catatan bagi mengetahui tentang Dokumen/Maklumat tambahan yang diperlukan.
Langkah 5: Sila muat naik dokumen/maklumat tambahan yang diperlukan dan klik ikon Choose File untuk memuat naik semula dokumen (format *.pdf atau *.jpeg).
Langkah 6: Setelah dokumen tambahan dimuat naik, klik butang Lampirkan.
Merujuk kepada pengumuman berkaitan dengan tuntutan bagi kes kontak rapat COVID-19, harap maklum bahawa semua tuntutan telah dimuktamadkan.
Sementara itu, bagi Manfaat Hospitalisasi, tuntutan masih diterima sekiranya penerima mySalam disahkan positif COVID-19 and dimasukkan ke dalam wad untuk menerima rawatan.
Sila rujuk jadual di bawah untuk tuntutan yang berkaitan dengan COVID-19.
Keputusan ujian COVID-19 | Lokasi pengurusan | Tempoh perlindungan | Tarikh Akhir Pendaftaran Tuntutan | Syarat |
---|---|---|---|---|
Positif | Hospital | Mengikut tahun kelayakan mySalam | Tuntutan masih diterima | Had tahunan Manfaat Hospitalisasi, maksimum 14 hari |
Selain Hospital (Pusat kuarantin/ Pengawasan di rumah) | Tarikh peristiwa sehingga 30/04/2022 | 30/06/2022 | ||
Negatif/ Kontak rapat | Selain Hospital (Pusat kuarantin/ Pengawasan di rumah) | Tarikh peristiwa sehingga 31/10/2021 | 30/06/2022 | Had tahunan Manfaat Hospitalisasi, maksimum 14 hari (Dana yang berbeza dari Dana Amanah mySalam) |